Takaful Keluarga

 

Pengenalan

Takaful keluarga menawarkan faedah perlindungan insurans hayat dan simpanan jangka panjang kepada anda. Anda atau waris anda akan mendapat manfaat dalam bentuk kewangan jika anda ditimpa kemalangan. Pada masa yang sama, anda akan menikmati simpanan persendirian jangka panjang kerana sebahagian daripada caruman anda akan didepositkan ke dalam sebuah akaun untuk tujuan simpanan.

Anda boleh memilih sendiri tempoh matang pelan anda dan tidak ada pelucutan hak sekiranya anda membatalkan pelan takaful keluarga anda. Anda juga layak dikecualikan daripada cukai pendapatan jika anda menyertai pelan takaful keluarga.

 

Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Takaful keluarga berfungsi secara kepentingan bersama, di mana para peserta menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana sebagai caruman penyertaan (tabarru’). Dengan itu, sebahagian daripada sumbangan anda boleh digunakan untuk peserta lain yang menghadapi musibah, seperti kematian atau kecacatan kekal. Dana ini dikenali sebagai Akaun Khas Peserta (AKP) yang akan digunakan untuk saling membantu sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah.

Takaful keluarga juga merangkumi sebuah lagi dana, khas untuk simpanan dan pelaburan. Dana ini dikenali sebagai Akaun Peserta (AP). Caruman anda untuk simpanan dan pelaburan di dalam dana ini akan dilaburkan oleh pengendali takaful dan keuntungan akan dikongsi di antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui. Pada tarikh matang pelan anda, anda layak berkongsi lebihan dana itu, jika ada.

Takaful keluarga pada lazimnya tidak melindungi perkara-perkara berikut:

  • Percubaan membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dengan sengaja sama ada semasa anda siuman atau tidak.
  • Jika anda melanggar undang-undang.
  • Jika anda memprovokasi serangan.
  • Jika anda berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
  • Jika anda menghidap AIDS atau HIV.
  • Sebab-sebab lain yang dilarang oleh undang-undang Syariah.
Apabila memohon takaful keluarga :

  • Anda perlu isytihar semua fakta penting mengenai risiko yang akan dilindungi.
  • Anda perlu baca dan fahami “Notis Mustahak” di dalam Borang Cadangan.
  • Anda perlu jawab semua soalan dengan lengkap dan tepat.
  • Anda perlu lengkapkan dan tandatangan borang anda sendiri.
Apabila memohon takaful keluarga :

  • Jangan biarkan mana-mana soalan di dalam Borang Cadangan tidak dijawab.
  • Jangan gunakan tanda pangkah atau sempang untuk menjawab soalan yang memerlukan jawapan lengkap.
  • Jangan merahsiakan atau memberi gambaran yang salah mengenai fakta penting yang diperlukan. Sijil yang dikeluarkan akan menjadi tidak sah dan tuntutan boleh ditolak.
  • Jangan menandatangani borang kosong.
Pengendali takaful akan membuat pembayaran kepada anda atau penama anda, bergantung kepada terma dan syarat di dalam sijil pelan takaful keluarga anda. Jika anda perlu membuat tuntutan, maklumkan pengendali takaful anda dengan segera. Ikuti prosedur-prosedur berikut untuk mempercepat dan mempermudah pemprosesan tuntutan anda oleh pengendali takaful anda.

Untuk tuntutan matang
Sediakan salinan sijil takaful keluarga.

Untuk tuntutan kecacatan
Sediakan salinan asal sijil takaful keluarga dan laporan doktor.

Untuk tuntutan kematian
Penama anda hendaklah menyediakan dokumen-dokumen berikut:

  • Salinan sijil kematian yang disahkan;
  • Salinan kad pengenalan simati;
  • Sijil takaful asal;
  • Bukti hubungan antara orang yang membuat tuntutan dan simati; dan
  • Dokumen-dokumen lain yang diminta oleh pengendali takaful.

Di dalam perkara ini, adalah penting untuk mempunyai seorang penama kerana ia memudahkan tuntutan dibuat oleh waris anda.